Chimera, 1 individu yang mempunyai 2 set DNA.

It's my serious thought and I want to present it in a formal Bahasa Malaysia.

Apa itu Chimera? Chimera merupakan satu kecacatan biologi yang jarang berlaku, iaitu seorang individu mempunyai dua set DNA dalam dirinya. Bagi masyarakat Greek pula, Chimera merupakan satu haiwan mitos yang mempunyai rupa separuh singa, separuh kambing dan separuh ular atau naga. Haiwan mitos Chimera ini sering dikaitkan dengan kuasa jahat dalam lagenda dewa-dewi Greek. Apabila perkara ini dikaitkan dengan kecacatan biologi di dunia realiti, masyarakat seringkali memandang insan Chimeric ini sebagai orang jahat dan sukar dipercayai. Kenapa? Sebabnya, dalam kesemua 30 kes Chimera yang dikenal pasti di seluruh dunia, lebih separuh daripada insan Chimeric ini dipandang serong setelah keputusan DNA mereka tidak menunjukkan keserasian dengan anak mereka sendiri. 2 kes pula melibatkan jenayah perogol bersiri yang mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.

Pada peringkat awal pengenalan istilah Chimera di dalam dunia Sains dan Perubatan, ia begitu hangat diperdebatkan di kalangan saintis yang mengatakan bahawa perkara ini mustahil kerana manusia tidak mungkin dapat hidup dengan 2 set DNA yang berlainan dalam sistem biologi mereka. Pada pandangan saintis ketika itu, situasi 2 set DNA sama seperti situasi 2 jenis kumpulan darah yang bergumpal sekiranya ia bertembung. Namun, kajian lanjut yang telah dibuat para saintis mendapati kejadian Chimera adalah bersifat mungkin dengan teori pergabungan 2 ovum yang tersenyawa pada peringkat awal pertambahan sel. Bagi menguji teori ini secara saintifik, para saintis di Shanghai University, China telah membuat satu eksperimen penggabungan sel kulit manusia dengan ovum arnab yang telah berjaya menghasilkan embrio manusia Chimeric. Namun begitu, embrio tersebut telah dimusnahkan ekoran daripada etika kerja Sains dan Perubatan yang melarang sama sekali aktiviti/eksperimen memutasi dan penghibridan sel manusia dengan haiwan.

Sekali lagi saya tekankan bahawa percantuman 2 embrio tersenyawa di peringkat pertambahan sel ini menghasilkan seorang individu yang mempunyai 2 set DNA. Dalam kesemua 30 kes Chimera yang telah dikenalpasti di seluruh dunia, 90% daripada mereka mempunyai ciri-ciri fizikal luaran yang normal, manakala 10% mempunyai sedikit kelainan pada penampilan fizikal luaran mereka. Antara kelainan yang dicatatkan adalah warna anak mata yang berlainan pada kedua-dua belah mata dan juga warna kulit yang berbelang-belang dengan ketara. Keanehan fizikal lain yang tidak kelihatan dengan mata kasar ialah warna dan tekstur kulit yang berbelang-belang yang hanya boleh dikesan di bawah sinaran inframerah atau alur biru pengesan darah, bentuk cap jari yang mempunyai jenis alur yang berbeza pada jari-jari di tangan yang berlainan. Contoh bagi keanehan cap jari ialah individu Chimeric yang mempunyai jenis cap jari pusaran pada tangan sebelah kanan, manakala jari di tangan kirinya mempunyai cap jari jenis bullseye.



Antara kes yang menyebabkan 'kelahiran' istilah Chimera di dunia Sains dan Perubatan ialah kes Lydia Fairchild, seorang ibu di Amerika Syarikat yang gagal menuntut hak penjagaan ke atas anak-anaknya sendiri setelah bukti klinikal mendapati set DNA Lydia Fairchild tidak serasi dengan set DNA anak-anaknya. Cubaan menuntut hak penjagaan Fairchild ke atas anak-anaknya yang pertama berakhir dengan kegagalan sehinggalah kes yang sama muncul beberapa tahun kemudian di Boston yang dialami oleh Karen Keegan. Keegan sedang dalam keadaan tidak sihat dan memerlukan pemindahan buah pinggang dengan segera ketika doktor menyampaikan berita yang mengejutkan itu kepadanya. Nasib Keegan agak baik kerana pada ketika itu, teknologi kajian DNA telah berkembang dengan lebih maju dan meluas. Keegan tidak mempunyai sebarang masalah dalam mengurus masalahnya secara Saintifik. Setelah berita mengenai penyelesaian kes Keegan tiba ke pengetahuan peguam bela Faichild, peguamnya telah berusaha untuk mendapatkan cara penyelesaian saintifik peringkat tinggi sepertimana yang telah Keegan lakukan. Walaupun bukti Chimera Fairchild telah dipastikan, badan perundangan masih musykil dengan keputusannya dan bertindak menuduh Fairchild sebagai ibu tumpang kepada anak yang baru beliau lahirkan pada ketika itu yang juga mempunyai set DNA yang berlainan. Setelah bertahun-tahun berjuang akhirnya tuntutan hak penjagaan Fairchild ke atas kesemua anak-anaknya diluluskan.

Demikianlah maklumat yang saya perolehi mengenai Chimera daripada majalah dan buku Sains Genetik dan juga maklumat-maklumat daripada internet. Perkara yang menarik perhatian saya dalam kes Chimera ini ialah bagaimana kelenjar penghasilan hormon insan Chimeric ini boleh menghasilkan 2 set DNA yang mengakibatkan bacaan DNA yang berlainan oleh air liur dan juga air manih/mazi? Saya begitu takjub untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kes Chimera ini namun maklumat mengenainya dalam bentuk buku sangat terhad di mana-mana perpustakaan. Maklumat di internet pula ada kalanya memberi maklumat yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Walaubagaimana pun, pengetahuan saya mengenai Chimera hanya sejauh ini dan saya berharap ia berjaya menyumbang sedikit input sains kepada pembaca. :)

Comments